Zhafri tidak suka cerewet

SEPANJANG sesi fotografi dijalankan di Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tidak nampak sama sekali anak muda yang menghiasi ruangan Nuansa Jejaka ini sebenarnya baru berusia 22 tahun. Jelas sekali sikap matangnya yang begitu terbuka mengemukakan pandangan mengenai pelbagai isu semasa serta pendapat mengenai golongan hawa.

“Apatah lagi kini sejak duduk membujang bersama kawan, semuanya terpaksalah dilakukan sendiri. Bukan tidak mahu menetap bersama keluarga, tetapi lebih mudah bila hendak ke tempat kerja,” katanya yang hadir ditemani kakaknya, Mira, 32, yang sedondon dengan rona merah ketika sesi fotografi itu.

Sambil menegaskan, faktor usia bukanlah penghalang untuk seseorang itu menempa kejayaan, jejaka tinggi lampai ini berkata, apa yang penting ialah semangat dan cita-cita untuk memperoleh kejayaan. Baginya, kunci utama yang dipegang untuk berjaya ialah berusaha menimba pengalaman selagi termampu.

Pengalaman dalam kerjaya begitulah yang dikecapinya kini sepanjang sembilan bulan bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta terkemuka di ibu negara.

Zhafri yang memiliki sepasang mata berwarna coklat turut berkongsi ‘rahsia dirinya’, selain bercerita mengenai wanita pilihannya dan senario wanita berkerjaya. Jom berkongsi cerita!

Ceritakan sedikit mengenai kerjaya Zhafri kini?

- Kerjaya sebagai juruteknik ini tidak menentu kerana saya terikat dengan jadual masa, sama ada di waktu pagi atau malam. Biarpun sedikit mencabar dan tertekan, tetapi seronok bila dapat menimba sesuatu yang baru.

Apakah yang membuatkan kerjaya Zhafri ini begitu menyeronokkan?

- Suasana di tempat kerja sendiri. Syarikat ini pula beroperasi 24 jam, menyebabkan saya ramai kenalan.

Masih mempunyai waktu senggang untuk melakukan pelbagai aktiviti?

- Sudah tentu. Saya memang sportsman. Pantang saja mempunyai masa terluang, ada saja program sukan yang direncanakan bersama teman. Paling ditunggu-tunggu ialah bermain futsal. Jika ada waktu terluang juga saya gemar melayari internet.

Filem terakhir yang Zhafri tonton?

- Transformers.

Cabaran hidup membujang?- Menetap bersama lima lelaki bujang memang mempunyai pelbagai ragam. Tetapi apa yang menyeronokkan, kami sama-sama sekepala dan tidak banyak kerenah. Masing-masing mempunyai hal tersendiri. Walaupun ramai, kami tidak masak di rumah. (tergelak).

Bagaimana pula dengan ciri wanita pilihan?

- Cukuplah jika wanita itu manis orangnya, bertudung dan paling utama menghormati orang lain.

Pandangan Zhafri mengenai pencapaian wanita di Malaysia hari ini?

- Ohhh... Ternyata, wanita Malaysia sudah mencapai suatu tahap yang begitu membanggakan. Lihat saja pelbagai jawatan tinggi yang disandang mereka. Ini bukanlah suatu saingan, sebaliknya sesuatu yang begitu baik untuk membantu meningkatkan ekonomi negara.

Terangkan tiga karektor wanita yang begitu disenangi?

- Wanita yang berkerjaya, bertudung dan lemah lembut.

Bagaimana pula dengan tiga karektor wanita yang Zhafri tidak gemari?

- Wanita yang suka mengongkong, materialistik dan cerewet.

Pandangan Zhafri bila wanita juga merokok?

- Secara peribadi, tidak manis bagi saya bila melihat wanita merokok kerana hilang ciri kewanitaan mereka.

Bagaimana menjelaskan karektor diri Zhafri?

- Saya memang lasak orangnya. Sukakan cabaran dan berdikari. Selain peramah saya memang sportsman.

Tiga benda yang wajib di bawa setiap masa?

- Dompet, telefon bimbit dan kunci rumah.

Siapakah personaliti wanita yang menjadi pilihan Zhafri dan mengapa?

- Datuk Siti Nurhaliza. Mengapa? Lihat saja pencapaiannya dalam tempoh 10 tahun dalam industri muzik tanah air. Impak besarnya dalam bidang nyanyian cukup membanggakan walaupun terpaksa bermula daripada bawah tetapi bakatnya cukup gemilang.

Pandangan Zhafri bila isteri juga berkerja?

- Tidak salah untuk isteri keluar berkerja asalkan mereka mampu membahagikan masa dan tidak membebankan diri. Pada masa kini, senario isteri turut berkerja bukanlah perkara baru memandangkan ekonomi semasa dan boleh membantu sumber kewangan keluarga.

Profil: Zhafri Abu Bakar
Umur: 22 tahun
Tarikh lahir: 19 Februari 1985
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Tinggi: 175 sentimeter
Berat: 59 kilogram
Kerjaya: Juruteknik

By Syed Mohd Adib with No comments

0 comments: